Bayar tapi tak halalkan-Harun Salim Bachik




Kecewa dengan kemelut yang berlaku, bekas Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Harun Salim Bachik, meluahkan hasrat untuk mengundurkan diri daripada persatuan yang pernah diterajuinya itu.

Dia berasakan, perjuangannya membangunkan persatuan berkenaan selama ini tidak memberikan hasil setimpal.
Kalau dikira sekarang ini, saya masih bergelar ahli. Kalau diikutkan hati, saya memang mahu keluar daripada SENIMAN. 

Buat apa saya mahu bersama SENIMAN, sedangkan persatuan itu sendiri yang menyaman saya? 

Buat apa saya memperjuang persatuan yang menganiaya saya dan saya pula yang perlu membayar saman atas usaha yang saya lakukan untuk mereka?

Sekarang, apabila semua ini terjadi, kepada siapa saya harus mengadu? Apabila artis ada masalah, mereka akan mengadu kepada SENIMAN. Kini, apabila saya ada masalah, siapa nak tolong saya?

Dengan apa yang berlaku, saya mengharapkan perubahan pada SENIMAN, Malangnya, persatuan turut terheret ke mahkamah akibat sikap tidak puas hati beberapa pihak. Jadi, saya rasa sekarang ini SENIMAN sudah tercemar disebabkan perkara yang terjadi ini. Sedangkan sebelum ini, nama SENIMAN tidak pernah ke mahkamah.
Dengan apa yang berlaku, persatuan itu sudah jadi agak huru-hara. SENIMAN juga sudah tiada aktiviti, sementara menunggu Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang seterusnya, luah Harun tatkala ditemui ketika menghadiri majlis tayangan filem lakonannya, Papadom 2, di Petaling Jaya, baru-baru ini.-BERITA HARIAN