200 Kucing Bersaing Dalam Festival Kucing Kelmarin



Putrajaya: Festival Kucing Putrajaya berlangsung di Auditoriam Cempaka Sari, Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj) bermula kelmarin, menampilkan lebih 200 ekor kucing dari pelbagai spesies.
Pameran dua hari berakhir hari ini itu menampilkan kucing dari spesies dan baka termasuk Parsi; Norwegian Forest; Devon Rex; Cornish Rex; Bengal; Siam; Siberian; Birman; Angora; Turkish; Kucing Malaysia; Maine Coon; Exotic Short Hair; Exotic Long Hair dan kucing tanpa bulu dari jenis Sphynx.
Presiden PPj Tan Sri Aseh Che Mat berkata, festival itu diadakan bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan, selain bertujuan memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan pendedahan dan tunjuk ajar berhubung teknik serta kaedah penjagaan kucing.
Beliau berkata, pemilihan rakan strategik seperti Kelab Kucing Malaysia selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Federation International Feline (Fife) memberi peluang kepada pihaknya untuk mengumpulkan semua penggemar kucing dari dalam dan luar negara.