KUALA LUMPUR 7 Dis. - Banjir gelombang kedua dijangka berlaku di Pantai Timur apabila beberapa tempat diramal mengalami hujan sepanjang minggu ini.
Menurut Jabatan Meteorologi, kawasan terlibat akan mengalami hujan pada sebelah pagi, petang dan malam.
Jumlah penduduk yang dipindahkan di Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor pula meningkat kepada 65,133 orang awal malam ini dan peningkatan ini berikutan jumlah mangsa di Terengganu yang naik secara mendadak.
Di KUANTAN, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Pahang meningkat kepada 39,580 orang petang ini berbanding 39,177 malam tadi.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, sehingga pukul 6 petang ini, lebih 39,000 orang daripada 10,925 keluarga masih ditempatkan di 121 pusat pemindahan melibatkan 128 kampung yang terjejas akibat banjir di lapan daerah.
"Kuantan masih mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 34,222 yang ditempatkan di 38 pusat pemindahan banjir," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, sebanyak 3,464 mangsa banjir ditempatkan di 26 pusat pemindahan di Pekan, Temerloh 847 mangsa (22 pusat pemindahan), Jerantut 520 (10 pusat pemindahan) dan Maran 315 (sembilan pusat pemindahan).
Selain itu, beliau berkata, seramai 106 mangsa dipindahkan di Bera membabitkan lapan pusat pemindahan, Rompin, 53 (empat pusat pemindahan) dan Lipis, 53 mangsa (empat pusat pemindahan).
Di KUALA TERENGGANU, jumlah mangsa banjir di negeri ini mencatatkan peningkatan mendadak meskipun tiada hujan kecuali mendung iaitu sebanyak 22,219 orang daripada 5,073 keluarga yang ditempatkan di 66 pusat pemindahan di empat daerah.
Pertambahan itu dicatatkan setakat pukul 7 malam ini berbanding 7,172 mangsa daripada 1,743 keluarga pada sebelah pagi.
Menurut laporan portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, kebanyakan mangsa adalah dari daerah Kemaman yang mencatatkan sebanyak 18,576 orang daripada 4,177 keluarga dan mereka ditempatkan di 43 pusat pemindahan di daerah berkenaan.
Diikuti Dungun, seramai 3,581 orang melibatkan 878 keluarga yang ditempatkan di 20 pusat pemindahan, 37 orang daripada 13 keluarga (Marang) dan 19 orang daripada empat keluarga (Hulu Terengganu).
Sementara itu di KOTA BHARU, jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 1,796 orang daripada 664 keluarga berikutan cuaca semakin baik sepanjang hari ini.
Menurut portal rasmi kerajaan negeri, semua pusat pemindahan kecuali di Pasir Mas telah ditutup dan semua mangsa yang terlibat sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Di JOHOR BAHRU, mangsa banjir di Johor meningkat semula kepada 1,538 mangsa setakat pukul 4 petang ini berbanding laporan yang dikeluarkan pagi tadi iaitu 1,492 orang.
Segamat menjadi daerah yang paling teruk terjejas dengan 582 mangsa di sembilan pusat pemindahan, diikuti Batu Pahat (418/5); Pontian (413/3); Kota Tinggi (97/2); Kluang (20/1) dan Ledang (8/1).
Di MELAKA, kesemua 25 mangsa banjir dari lima keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu, Sungai Rambai, Jasin dibenarkan pulang hari ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131208/dn_05/Awas-banjir-gelombang-kedua#ixzz2mujohHGp
© Utusan Melayu (M) Bhd