Aktres dan pengacara Irma Hasmie mengakui dia merindui untuk kembali aktif berlakon tetapi terkilan kerana terpaksa menolak banyak tawaran semenjak kelahiran anak lelaki sulungnya, Redza Syah Irfhan yang kini berusia hampir sembilan bulan.
"Semenjak kelahiran anak pada 29 Mac lalu, kerjaya lakonan Irma agak perlahan. Walaupun menerima banyak tawaran untuk berlakon, Irma terpaksa menolak kerana ingin memberi sepenuh tumpuan membesarkan anak yang masih kecil.
"Hampir semua tawaran berlakon saya tolak kerana kebanyakannya ada drama bersiri dan ia memerlukan saya untuk bertugas di luar Kuala Lumpur. Maka terpaksalah saya tolak termasuklah tawaran daripada abang Rashid Sibir yang skripnya telah ditulis khas untuk saya," ujar Irma seperti ditemui di majlis pelancaran dan perlantikan duta produk kecantikan dan kesihatan jenama Radiglow di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Namun Irma, 31, memberitahu dia tidak akan menolak tawaran untuk berlakon dalam telefilem kerana jangka masa penggambaran dan komitmen untuk menjayakannya tidak seperti berlakon dalam drama bersiri.
"InsyaAllah sekiranya diberi rezeki untuk berlakon dalam telefilem, saya tidak akan menolak jika watak dan plot cerita itu bersesuaian dengan imej saya. Malah saya tidak keberatan melakonkan watak antagonis meskipun dengan imej berhijab asalkan ia dapat memberi pengajaran kepada penonton.
"Memang saya ada meletakkan syarat tertentu kepada produksi yang mahu mengambil saya berlakon mahupun mengacara dan kebanyakan syarat itu berkaitan dengan anak. Sebelum menerima sebarang tawaran, saya akan pastikan kedua-dua pihak bersetuju dan selesa menerima syarat yang diberikan," jelas Irma lagi.
Bercerita tentang pengalaman membesarkan Irfhan, Irma memberitahu dia masih belum puas menjaganya meskipun tanpa bantuan pengasuh.
"Bukan takut atau tidak percaya untuk menyerahkan dia dijaga orang lain, tetapi masih belum puas menjaganya dan saya ingin melihat dia membesar dengan mata sendiri.
"Keluarga dan suami meminta seboleh-bolehnya biarlah 'tangan sendiri' yang membesarkan anak tanpa bantuan pengasuh. Alhamdulillah, saya dikurniakan suami yang memahami dan pandai menguruskan anak. Oleh itu tugas menjaga Irfhan dilakukan secara bergilir-gilir.
"Sekarang ini pun sekiranya tidak membebankan, saya akan membawa anak ke majlis yang dihadiri kerana tidak sanggup meninggalkannya. Tunggulah dia besar dan boleh minum susu formula, mungkin boleh diasuh oleh nenek sementara saya bekerja," katanya.
Menyentuh tentang perkembangan lain, selain peranannya sebagai duta Radiglow, Irma juga bertugas sebagai pengacara bagi program "Assalamualaikum" di TV AlHijran yang bersiaran setiap hari Jumaat hingga Ahad.
Selain itu juga, Irma turut membuka perniagaan butik muslimah, Debumas yang telah beroperasi sejak Julai lalu menerusi laman sosial Instagram.-yahoo