MAMPUKAH NABIL KEKALKAN KEKECOHAN AZNIL BERSAMA ADIBAH NOOR DI AIM 20?









Menerusi penganjuran Anugerah Industri Muzik 19 (AIM 19) tahun lalu, pengacara hebat, Datuk Aznil Hj Nawawi berjaya menyerikan anugerah tersebut dengan menjadi hos bersama penyanyi dan pengacara, Adibah Noor.

Bagaimanapun, pada AIM 20 kali ini, pihak penganjur hanya mengekalkan Aznil menjadi pengacara dengan menggantikan tempat Adibah dengan pengacara MeleTOP iaitu Nabil Ahmad.

Jika gandingan Adibah dan Aznil dilihatkan lebih spontan dan menarik perhatian penonton, mungkinkah gandingan Aznil bersama Nabil lebih kecoh memandangkan Nabil adalah pelawak yang begitu kreatif.

Apa sekalipun, selain menggabungkan Aznil dan Nabil sebagai teraju utama AIM 20, upacara karpet glamor AIM 20 masih mengekalkan anak didik Aznil dalam program On Air sebagai pengacara iaitu Hefni Saad dan Dahlia.

Apa yang pasti, pemilihan kedua-dua individu ini dilihat serasi memandangkan kedua-duanya semakin mendapat tempat sebagai hos terutama sekali Hefni yang baru saja selesai menjadi hos Diari AF2013.

Sementara itu, AIM 20 menjanjikan sesuatu yang luar biasa dengan menggadingkan ramai nama besar tanahair untuk mengadakan persembahan.

Antara artis yang bakal beraksi pada kemuncak AIM20 ialah Dato’ Siti Nurhaliza, Hafiz Suip, Ning Baizura, Shila Amzah, Spider, Najwa Latif dan Aizat.

Malah, penyanyi popular dari seberang iaitu Dato’ Rossa dan Afghan akan turut sama menyerikan pentas AIM 20.

Jadi, kepada penonton, jangan lupa untuk menyaksikan malam kemuncak AIM 20 yang bakal berlangsung di Stadium Putr aBukit Jalil pada Sabtu, 14 Disember 2013 bermula dengan siaran secara langsung acara ‘Karpet Glamor AIM 20 pada jam 8.30 malam diikuti dengan majlis penyampaian Anugerah AIM 20 pada jam 9.00 malam.

Siaran langsung secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104) dan ditayangkan secara serentak di Astro Maya HD (saluran 135).-MURAI.COM.MY