Tak Tahu Ibu Bapa Mati Ditembak




Caracas: Anak bekas ratu cantik Venezuela yang dibunuh perompak kelmarin masih belum tahu dia kini menjadi anak yatim piatu.
Menurut keluarga Monica Spear, Maya, 5, tidak menyedari insiden yang disaksikannya itu telah mengorbankan ibu dan bapanya.

Jurucakap keluarga Monica berkata, selepas kejadian Maya terus dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan manakala mayat ibu bapanya dipindahkan.

“Kami masih menunggu masa sesuai untuk memaklumkan kematian itu kepada Maya,” katanya.

Dalam kejadian kelmarin, Monica yang dinobatkan sebagai Ratu Venezuela 2004 menaiki kereta bersama bekas suaminya, Thomas Berry, serta Maya apabila tayar kenderaan mereka tiba-tiba pancit selepas terlanggar paku.

Sejurus kemudian sekumpulan perompak menyerbu kereta itu dan melepaskan tembakan bertalu-talu menyebabkan Monica serta Berry terbunuh.
Bagaimanapun Maya hanya cedera di kaki. - Agensi
-hmetro