![]()
FIGURA sasa ini kini muncul dengan filem terbaharu lakonannya, Homefront.
|
NAMA Jason Statham bukanlah asing dalam kalangan penggemar filem Hollywood. Antara filem lakonannya The Transporter dan The Expendables. Terbaharu, teman lelaki kepada model dan pelakon terkenal, Rosie Huntington-Whiteley ini hadir dengan filem penuh aksi, Homefront.
Melalui filem itu, Jason menjayakan watak seorang bekas pegawai pentadbiran penguatkuasaan dadah, Phil Broker yang mengambil keputusan untuk membesarkan anak perempuannya jauh di pedalaman setelah kematian isteri tercinta.
Malangnya, konflik mula tercetus apabila anak perempuannya, Maddy dibuli oleh seorang pelajar lelaki di sekolah dan bapa saudara pelajar itu merupakan pengedar dadah terbesar yang masih belum diberkas oleh polis.
Ketika ditemu bual oleh Julie Miller daripada majalah Vanity Fair, Jason mendedahkan bahawa ini merupakan kali pertama dia memegang watak sebagai seorang bapa dan bekerja dengan Sylvester Stallone yang bertindak sebagai produser bersama.
"Ia merupakan sesuatu yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini. Walaupun saya bukan seorang bapa tetapi saya banyak belajar dan melihat cara bagaimana seorang bapa melayan anaknya. Untuk filem ini, saya rasa perlu bagi watak Phil untuk berbicara dengan anaknya Maddy seperti orang dewasa.
"Cara Sly (Sylvester) bercakap dengan anak-anaknya juga sama seperti cara dia berbual dengan saya. Sebagai salah seorang produser, dia sentiasa mahukan saya memainkan watak yang berbeza setiap kali muncul dengan filem baharu," ujarnya.
Ketika ditanya mengenai respons Sylvester terhadap mutu lakonannya, Jason memberitahu, Sylvester banyak membantunya dalam menjiwai watak ketika sesi latihan sebelum bermulanya sesi penggambaran Homefront.

FILEM Homefront menggandingkan Jason dengan dua bintang terkenal, James Franco (tengah) dan Winona Ryder.
Jason turut memberitahu, watak yang dibawanya itu pada asalnya ditulis untuk Sylvester sebelum dirombak dan diberikan kepadanya.
"Saya cuba memberikan yang terbaik sewaktu sesi latihan kerana untuk menjadi diri Sly adalah sangat sukar. Dia memberikan pengaruh yang besar terhadap karier saya terutama dengan apa yang dia tulis. Saya tak mahu menjahanamkannya!
"Ketika sesi penggambaran, dia akan berada bersama saya. Jika apa yang keluar daripada mulut saya tidak kena dengan apa yang dia inginkan, Sly akan mengubah pada waktu itu juga supaya sesuai dengan perjalanan filem," ujarnya yag menyifatkan Sly begitu komited dalam kerjayanya.
Tambah Jason, walaupun Sylvester terkenal dengan sifatnya yang lasak, pelakon yang terkenal dengan watak Rocky itu mempunyai sisi lain yang sangat berbeza.
"Bekerja dengannya sungguh mengujakan. Dia terkenal dengan gaya lasak seperti menggantungkan diri pada helikopter dan menembak menggunakan senapang tetapi dia juga sensitif dan kreatif dalam membuat keputusan.
"Dia menggunakan sifat-sifat itu untuk mewarnai filem ini dengan memberikan subplot sedikit kemanisan antara hubungan saya dan anak perempuan saya," ujar Jason.
Menurutnya lagi, individu yang tidak mengenali Sylvester mungkin akan berfikir bahawa dia sering terikat dengan emosi yang dimainkan ketika berlakon sedangkan itulah hakikatnya.
"Itulah yang menggambarkan siapa Sylvester yang sebenarnya," tegasnya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1204&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm#ixzz2mSLDkjEo
Hakcipta terpelihara