
CUACA mendung pada pagi Isnin lalu tidak menjadi penghalang buat pelakon genit yang popular menerusi drama komedi bersiri Puteri, Nora Danish, untuk bercerita mengenai kisah peribadinya.
Walaupun dicuit dengan soalan-soalan panas, ibu kepada Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram ini tidak sedikit pun menunjukkan tanda-tanda kurang senang. Malah, dibalasnya setiap soalan dengan tenang dan diiringi dengan senyuman.
"Saya sudah boleh agak bakal ditanya tentang hubungan yang terjalin antara saya dan Nadeem," ujar Nora dengan nada berseloroh ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta suplemen kecantikan Sure White Beauty Plus dan C-Glow Factor di Flora Terrace, Kuala Lumpur.
Pentingkan restu keluarga
Mengulas mengenai perkara tersebut Nora berkata, dia enggan menghebahkan kepada umum mengenai hubungan cintanya jika dia dan pasangan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga.
"Bagi saya, biarlah kami mengenali antara satu dengan lain terlebih dahulu. Jika saya mengumumkan kisah cinta dengannya terlalu awal, takut hubungan tersebut terputus di tengah jalan. Akhirnya, kedua-dua belah pihak akan menanggung malu.
"Lagipun, kami belum terfikir untuk meneruskan hubungan ke peringkat yang lebih istimewa. Jika saya dan Nadeem dijodohkan untuk berkahwin, baru saya akan membuat pengumuman," ujarnya.
![]()
PADA usia 31 tahun, Nora lebih berhati-hati dan matang bercakap tentang peribadinya.
|
Ketika ditebak mengenai dakwaan liar yang mengatakan bapa Nadeem tidak menyukai aktres berbintang Pisces itu, Nora menegaskan, dia sanggup untuk memutuskan hubungan cintanya jika dia tidak mendapat restu daripada kedua-dua belah keluarga.
"Sudah menjadi keutamaan bagi saya untuk mendahulukan pendapat yang datang daripada ahli keluarga. Jika saya tidak mendapat restu daripada bapanya, tidak mustahil untuk saya memutuskan hubungan ini.
"Tetapi, selama berkawan dengan Nadeem, dia tidak pernah memberitahu saya apa-apa mengenai perkara itu. Saya juga pernah berjumpa dengan ibu dan bapanya. Mereka sungguh merendah diri dan begitu baik terhadap saya," ujarnya lagi.
Bukan cari VIP
Hubungan Nora dengan bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli atau Jejai pernah hangat diperkatakan seuatu ketika dahulu.
Bagaimanapun, perkahwinannya dengan anak bekas Menteri Besar Perak itu akhirnya terputus di tengah jalan setelah Nora melahirkan Rayqal.
Sekali lagi, wanita berusia 31 tahun ini dikaitkan dengan anak lelaki orang kenamaan (VIP) sehingga menimbulkan cerita kurang enak yang mengatakan Nora hanya memilih individu berharta untuk dijadikan teman hidup.
Menafikan dakwaan tersebut, Nora berkata, tidak pernah terlintas di benak fikirannya untuk memilih pasangan dalam kalangan orang berada. Malah, sebelum mengahwini Jejai, dia pernah keluar dengan lelaki-lelaki biasa tanpa memikirkan status dan wang ringgit.
![]()
NORA memberitahu, jika dia dan Nadeem ditakdirkan berkahwin, mereka akan mengadakan sidang akhbar untuk mengumumkan hal tersebut.
|
"Sejujurnya, saya bukan wanita materialistik yang gemar mengejar lelaki berharta. Sebelum mengahwini Jejai dan mengenali Nadeem, saya pernah keluar dengan lelaki biasa. Mungkin spekulasi itu timbul secara kebetulan," katanya.
Apabila ditanya lebih lanjut mengenai Nadeem, Nora memberitahu, walaupun nampak sombong dan sering dilabel angkuh, lelaki itu sangat baik terhadapnya dan langsung tidak menyamai sifat-sifat luarannya.
"Dia nampak snobbish (angkuh), tetapi dia merupakan lelaki paling baik yang pernah saya kenal. Mungkin disebabkan kontra peribadi dan penampilannya itu yang membuatkan saya ingin mengenalinya dengan lebih dekat," ujar Nora yang suka melihat keakraban Rayqal dengan Nadeem setiap mereka berjumpa.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1218&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2nlrk7roM
Hakcipta terpelihara