PETALING JAYA – Bekas Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed
Zaidi terkejut kerana mula mendapat pelbagai tawaran berlakon selepas
jawatannya gugur berkaitan kes mahkamah.
Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 33, berkata, dia tidak
sangka masih lagi ada pihak yang sudi memberinya peluang berlakon
memandangkan sebelum ini dia sering menolak tawaran kerana ingin memberi
fokus terhadap Seniman.
“Sebelum ini saya sanggup berkorban menolak pelbagai tawaran lakonan
demi membangunkan Seniman, kerana risau andai kata saya gagal memberi
komitmen pada kerja lakonan.
“Bagaimanapun tidak sangka pula ada beberapa pihak sudi menawarkan saya
berlakon semula sejak jawatan saya dibatalkan,” katanya yang dihubungi
mStar Online di sini pada Isnin.
Bagaimanapun tambah Zed, buat masa ini, dia belum bersedia untuk
menerima sebarang tawaran kerana sibuk bersama beberapa rakan artis
terlibat dalam misi bantuan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di
Kuantan, Pahang.
Katanya, dia akan memikirkan tawaran lakonan yang diberi pada tahun depan selepas selesai isu banjir.
“Sekarang ini saya bersama beberapa rakan artis terlibat dengan
kerja-kerja berkumpulan membantu mangsa-mangsa banjir tanpa melibatkan
persatuan. Buat masa ini mereka memerlukan bantuan orang ramai. Biarlah
masalah ini selesai dahulu.
“Kemudian saya dah banyak masa dah, dan jika ada yang ingin panggil saya untuk berlakon, boleh saja,” selorohnya.
Pada 21 November lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur Rosilah Yop memutuskan apa-apa pemilihan ahli jawatankuasa
Seniman yang dibuat dalam Mesyuarat Agung Ke-14 yang diadakan 26 Mei
2012 di Dataran Karyawan Finas, di sini, adalah terbatal dan tidak sah.
Rosilah turut memerintahkan defendan kedua hingga keempat iaitu bekas
presiden persatuan itu Haron Aminar Rashid Salim (Harun Salim Bachik),
Omar Kamarudin (Yusof Kelana) dan Wafa A.Kadir membayar ganti rugi khas
sebanyak RM56,000 berhubung pembelian hartanah di Setiawangsa kepada
Seniman.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah Rozaidi Jamil (Zed Zaidi), Elyas
Ismail, Syed Ahmad Nahar Syed Mokhtar (Sean) dan Zaharudin Wahab (Den
Wahab).
Beliau juga turut memerintahkan ketujuh-tujuh defendan berkenaan membayar kos tindakan sebanyak RM60,000 kepada pihak plaintif.
Pada 25 Januari lepas lima artis veteran telah memfailkan saman terhadap
persatuan itu termasuk pemimpin-pemimpinnya bagi mendapatkan perintah
mahkamah untuk mengisytiharkan AGM ke 14 persatuan berkenaan tidak sah
kerana disyaki berlaku penyelewengan dan beberapa perkara termasuk
pemalsuan pindaan undang-undang.