Italian Job Buat Penggambaran di Malaysia!!


Kuala Lumpur: Penerbit dan pelakon aksi lasak Hollywood, Mark Wahlberg menyatakan hasratnya untuk menjalankan penggambaran sebahagian daripada sekuel filem The Italian Job, The Brazilian Job di Malaysia.
Pemain utama filem The Italian Job (2003) itu berkata, beliau berminat untuk menghubungi pihak berkuasa di Malaysia bagi mendapatkan sokongan untuk melakukan penggambaran di negara ini.

“Sebenarnya sudah lama dan banyak kali saya bercakap mengenai rancang untuk membuat sekuel The Italian Job
“Saya berminat untuk menghubungi kerajaan Malaysia sekiranya saya boleh melakukan penggambaran sebahagian daripada filem itu di Malaysia,” katanya ketika ditemui Harian Metro semasa menjalani penggambaran filem Transformers: Age of Extinction (Transformers 4) di Hong Kong, baru-baru ini.

Dia berkata, pemilihan Malaysia sebagai lokasi penggambaran berdasarkan faktor keindahan dan tarikan pelancongan di negara ini.

“Saya tahu Malaysia adalah tempat yang cantik dan ia (penggambaran filem ini) akan menarik lebih ramai pelancong ke sana,” katanya yang mengaku bahawa dia sendiri berminat untuk berkunjung ke negara ini.
Pembikinan sekuel filem The Italian Job pernah beberapa kali diperkatakan sejak 2004 dan kali terakhir dibangkitkan Wahlberg dalam satu temuramah pada 2012 yang menyatakan bahawa skrip The Brazilian Job sedang diperkemaskan bagi memastikan filem itu lebih baik daripada filem pertamanya.

The Italian Job yang membabitkan kos pembikinan AS$60 juta (RM197 juta) menghasilkan kutipan sebanyak AS$176 (RM578 juta).
Filem arahan F Gary Gray yang ditulis oleh Wayne dan Donna Powers serta diterbitkan oleh Donald DeLine itu turut menampilkan Charlize Theron, Edward Norton, Seth Green, Jason Statham, Mos Def dan Donald Sutherland.

Pembikinan semula filem Britain, The Italian Job 1969 itu mengisahkan sekumpulan pencuri yang merancang untuk merampas semula emas dilarikan oleh sekutu mereka yang belot.

Meskipun menggunakan tajuk filem, karakter dan plot yang sama dengan filem asalnya, Gray menyifatkan filem itu sebagai ‘satu penghormatan kepada karya asalnya’.

Kebanyakan lokasi penggambaran dilakukan di Venice dan Los Angeles di mana terusan dan jalan terpaksa ditutup bagi memberi laluan pembikinan filem edaran Paramount Pictures itu.

Malaysia tidak asing lagi dalam kalangan pemain industri perfileman luar negara terutama produksi dari India dan Hong Kong dengan menjadikan ibu negara dan Putrajaya sebagai lokasi penggambaran pilihan.
-hmetro.